Makluman: Cerpen pertama saya.
BEBOLA mata Seiya San tidak dapat mengelak dari terus memerhati. Kadang-kadang berminit-minit dihabiskan waktunya dengan merenung wanita berusia awal tiga puluhan itu. Wanita berkulit sederhana putih dan bermata coklat kehitaman. Sejak mutakhir ini, pandangan itu semakin ramah dan mesra. Kadang kala mata kedua mereka bertembung. Seiya san terasa amat gelisah.
Cepat-cepat Seiya san beralih kedudukan dari pentas latihan. Berlari-lari anak ke luar dewan menghirup udara segar. Tangannya, meraba-raba poket kemeja jeans lusuh. Tersorok beberapa batang Mild Seven dan lighter. Dicucuh dan disedut batang berasap toksin itu perlahan-lahan. Dia merasa puas. Perasaan gelisah yang aneh itu reda untuk sementara.
Kemudian resah itu berdendang lagi. “Aduh! Mengapa dia? Mengapa dia? Dia
Seiya san melangkah pantas ke café bersebelahan. Mahu mencari sesuatu yang boleh membasahkan tekaknya yang pijar. Mungkin juga seseuatu yang bakal meredakan perasaannya yang kian bercelaru.
Sebaik sahaja Seiya san mahu melabuhkan punggung, dia disergah dengan satu suara yang begitu sinonim dengan telinganya “Hei, buat apa di sini? Faiz san cari kamu tadi”.
Hampir-hampir dia tertelan sisa puntung berasap toksin yang sedang disedutnya. Ketawa Ennie berderai-derai. Mengekek-ngekek!
“Mana?” Seiya san
“Apa?” Balas Ennie sambil membetulkan anak tudung yang dipakainya. Kemudian membetulkan duduknya di sisi jejaka berusia tiga puluh
“Faiz san?” Seiya san sedikit meninggikan tune suaranya.
“Hello, saya bukan tidak boleh mendengar. Saya cuma kurang pendengaran tau!” Ennie dengan nada sedikit merajuk..
“Maaf!” Seiya san seperti biasa akan menundukkan kepalanya.. Tipikal budaya keturunannya. Sifat Jepun sejati.
“Saya berguraulah. Encik Faiz, tuan pengarah kita sudah balik.” Ennie tersenyum simpul. Tambah manis dengan kedua lesung pipitnya.
Seiya san tersengih. Bibirnya masih mengepit puntung rokok yang berbaki. Kemudian ditenyeh-tenyeh ke dalam ashtray yang tersedia di atas meja. “Kamu sangat manis, ada lesung batu...“
Pecah lagi derai tawa Ennie. Bersungguh-sungguh!
“Ano..ano...saya salah cakapkah?” Seiya san sedikit panik
“Bukan lesung batulah encik, lesung pipit” Ennie masih dalam nada tertawa.
“Okay, Esok kita jumpa lagi. Arigatogozhaimas.” Ennie berlalu masih tertawa kecil. Meninggalkan Seiya san tertanya-tanya perbezaan antara lesung batu dan lesung pipit.
Bebola mata Seiya san tertancap pada tubuh kecil molek Ennie. Melangkah berhati-hati dalam hujan multi halus menuju ke arah Rizal,suami Ennie yang peramah dan berbudi bahasa. Pasangan bahagia itu berlalu sambil melambaikan tangan meninggalkan Seiya san.
Entah kenapa, tiba-tiba di hati kecil Seiya san tersarang rasa sedikit lara bercampur cemburu.
Seiya san teringat pertanyaan Ennie semalam. Dia belum lagi menjawabnya. Belum ada jawaban dan kata putus yang telus lagi jujur. Memori pertemuannya dengan Suharnie kembali menari-nari di dalam minda. Detik dia bertemu perempuan berketurunan Melayu yang rambutnya ditutup rapi hingga tidak pernah kelihatan terurai walau sehelai pun.
Sedikit sebanyak kekurangan wanita itu adalah ketidakupayaan kekal akibat penyakit yang pernah dideritai sewaktu kecil. Jalannya sedikit sengit, tercapik-capik dan terpaksa dibantu teman-teman terutama ketika menaiki tangga atau melintas jalan tanpa jejantas. Namun Seiya San tahu, semangat juang Ennie tidak pernah patah.
Wanita itu sentiasa dengan jeans dan baju T longgar. Kadang anggun santun mengenakan busana kebangsaannya. Bangsa yang pernah dijajah tanah mereka oleh nenek moyangnya. Bangsa yang pernah dikejami. Diperkosa gadis-gadisnya, dipenggal kepala pemuda-pemudanya dan seribu macam kekejaman lagi. Semua itu terselit dalam lipatan sejarah bangsa yang luka.
Ingatan Seiya san kembali menyoroti kompas waktu empat tahun yang lalu. Saat dia diberikan kepercayaan untuk mencari seorang wanita bernama Suharnie. Ketika mereka bertemu, Suharnie alias Ennie masih bujang. Bagaimana hati lelakinya tidak pedih. Selang beberapa bulan kemudian, dia diberitahu wanita yang berjaya mencuri hatinya itu sudah pun berkahwin.
Projek teater tanpa dialog itulah yang mempertemukan dia dan Suharnie. Seiya san merupakan pengurus produksi mewakili yayasan yang menaja teater tersebut. Selesai seisi latihan mereka akan duduk-duduk berborak kosong. Kadang berdua. Kadang bersama Lisa, kawan baik Ennie dan Encik Faiz.
Kerapnya mereka berdua. Mereka pun berbual. Sesekali pasal filem kerana Ennie menggemari filem-filem dari Negara kelahiran Seiya san. Kadang pasal seni lakon pentas yang sedang mereka usahakan. Selalunya pasal cinta; tentang hubungan lelaki dan wanita.
Suatu hari, Ennie bertanya. “Seiya san, jika awak jatuh cinta dengan orang kurang upaya, adakah awak sudi kahwini dia?”
“Rizal sungguh bertuah! “ Seiya san
“Ya! Kami berdua memang bertuah. Hanya berjumpa beberapa bulan, terus saja kahwin” Balas Ennie. Tersenyum lagi.
Senyuman itu tidak sedikit pun meneduhkan gelisah hati Seiya san. Malah mengundang rasa cemburu yang mendalam. “Kamu benar-benar cinta dia?” Seiya san ingin tahu.
Ennie hanya tersenyum. Sama sepertinya, yang menyembunyikan jawapan kepada soalan Ennie di sebalik tembok hati yang dipagar rapi.
* * *
Petang itu, soalan Seiya san tidak lagi tergantung tanpa jawapan. Hujan masih rintik dan Ennie duduk-duduk bersantai di balkoni sempit apartmen murah yang dimiliki Rizal. Petang itu menjadi saksi. “Kamu benar-benar mau tahu? Okay, saya selalu belajar mencintainya dan sampai sekarang pun saya sedang dalam proses itu. Yang saya pasti, dia sangat menyayangi saya dan saya terima dia seadanya!”
“Ah! Kau tidak mungkin bisa mengerti keadaanku, Seiya san. Aku, wanita mencecah tiga puluhan. Wanita yang terdesak untuk mendapatkan status seorang isteri, ibu.dan membina sebuah keluarga. Status yang paling tersanjung dalam masyarakat kami.” Ennie bermonolog dengan diri.
Suharnie tahu. Apabila ada seorang lelaki berbudi dan baik akhlaknya bertandang hadir; harus pintu hatinya terbuka juga. Rizal mahu menikahinya; haruskah dia menolak lelaki itu dengan alasan paling bodoh dalam dunia. “Menolak kerana tidak mencintainya” sebagai contoh. Alasan tipikal itu, barangkali cuma sesuai digunapakai ketika dia dan Seiya san dipertemukan ketika mereka masih remaja belasan tahun.
Memang Ennie perasan, cara Seiya san merenungnya. Aneh! Tapi Ennie, pura-pura tidak ambil pusing. Walau dalam kotak fikirnya terbeban seribu satu persoalan.
Hari-hari berikutnya, begitulah mereka. Duduk-duduk bersantai sesudah lelah seisi latihan. Suatu malam Seiya san, via khidmat pesanan ringkas berkata “Jika saya bertemu dengan seorang perempuan, seperti kamu, akan saya kahwini perempuan itu dalam apa keadaan sekalipun.”
“Aduh! Gila dia ni!” Ennie tayangkan mesej tersebut pada Lisa keesokan pagi, sebelum memadamnya. Ennie bimbang, Rizal membaca mesej tersebut dan tersalah tafsir. Sungguh! Ennie tidak menyangka jawaban begitu.
“Memang dia gila. Gilakan isteri orang. Kau yang membuatkan dia jadi gila dan kau pun sukakan dia
Entah apa lagi harus Ennie ucapkan. Walaupun dia bukan kebal, kalis segala godaan; dia berjanji pada dirinya. Dia tidak akan sekali-sekali bermain api.
“Genggam saja. Tidak usah gelisah. Persetan mereka. Setiap nafas dan darah.” Ennie seakan terdengar suara membisik ke kuping telinganya. “Pergi saja ke pangkuannya. Jangan peduli. Dia menanti. Saban malam, sore dan pagi. Pergi saja ke pelukannya. Tidak perlu ragu. Dia menunggu. Setiap ketukan pintu.” Suara Syaitan Laknatullah berbisik-bisik.
Dada Ennie sesak. “Pergi! Menangis saja di pangkuannya. Kerana dia juga punya air mata yang tersimpan dan terkumpul. Untuk kamu sama-sama kongsikan” Syaitan Laknatullah menyeru-nyeru lagi.
“Na’uzubillah! Ampunkan aku, Ya-Allah!” Suara keimanan Ennie berperang dengan bisikan-bisikan itu.
* * *
Hari itu terik menyinga. Udara panas menujukkan wajah garang bengisnya. Pijar. Kulit mulus Ennie seakan mahu hangus. Hatinya entah hangus; entah terbata-bata dengan pelbagai rasa ketakutan bertandang datang dan pergi. Bersilih ganti rasa keanehan indah yang tidak tergambar dalam kata, kanvas mahupun skrin. Bahang neraka terasa di ubun-ubun. Syurga Tuhan terasa berbatu jauh dan dia hampir tersesat jalan. Jalan lurus terus liar berlari meninggalkannya. Mingkin dia yang semakin liar dengan pertunjuk dari Tuhan.
Betapa masa mempermainkan mereka. Bagaimana takdir meletakkan mereka di suatu garis terlindung. Kemudian menemukan mereka di suatu titik tanpa wajah. Betapa pertemuan tidak pernah direncana sebelumnya mengikis kejujuran dan kebenaran yang mereka pegang. Saat demi saat. Hari yang bersilih ganti. Bagaimana mereka boleh melihat cinta hadir melalui pandangan mata masing-masing.
Bagaimana lorong yang mereka pilih dan juga rahsia yang mereka simpan di dalam hati sanubari mereka. Sesalan yang mereka
* * *
“Cerita padaku tentang ume” pinta Ennie pada hari terakhir mereka bersua sebelum Seiya san berangkat pulang ke tanahairnya. Suatu malam, di atas tren yang meluncur laju menuju ke lapangan terbang. Lisa dan Encik Faiz turut menemani mereka.
“Kenapa ume? Seiya san kepingin tahu.
“Cerita sajalah” pinta Ennie bersungguh-sungguh.
Kemudian Seiya san menyambung “Setelah dedaun luruh pada musim gugur, maka pohonnya pun tinggal ranting-ranting polos. Pohon itu terus terlelap pada musim dingin, dan mulai membuka matanya pada musim semi”.
Seiya san menghela nafas dan terus bercerita. “Datangnya musim semi ditandai dengan mekarnya bunga ume. Di halaman rumahku, ada sepohon yang sering terlewat kembang kudupnya. Kuntumannya cantik. Kembangnya pun sebentar, umpama pertemuan kita yang terlewat ini.”
“Pohon ume tak berdaun, terus berbunga dan matangnya menjadi buah plum.
“Ah! Kalaulah aku boleh mengikut dan...” Namun suara itu sekadar mati di tangkai hati.
“Aku gembira dengan pertemuan kita Seiya san. Benar-benar gembira” Tenang sekali Ennie mengatur kata. Begitu berhati-hati agar tidak mengundang syak wasangka. Di segenap sudut celahan hatinya, biar dia dan Tuhan yang tahu.
“Kau langsung tiada apa-apa perasaan terhadap aku?” Seiya san sekali lagi ingin memastikan kata nalurinya benar. Kata hatinya tidak membohongi dia.
Suharnie terus berdiam. Sekadar tersenyum kelat. Membangkang tidak, mengiyakan sesekali tidak. Semua pengakuan terkurung di kolam hati. Kata-kata terzahir pasti bertukar wajah kepada dosa yang menggunung tinggi dan melebarkan dataran. Dataran yang mungkin mejunamkan dirinya ke lubang neraka. Sungguh! Ennie lebih takut pada dosa kecurangan. Dia mahu pantas melepaskan perasaan itu
Ennie sama sekali tidak menyesali kisah lalu atau takdir pertemuan kali ini. Wajah lelaki bernama Seiya san berlegar-legar di mana sahaja dia menyorok diri. Namun di hadapannya kini, sudah ada Rizal yang mencerna bahagia. Membuatkan Ennie dihantui rasa bersalah berlipat-lipat ganda.
Pertanyaan Seiya san berlalu sepi. Ennie berharap lelaki itu mengerti dan menerima situasi. Kelibatnya semakin hilang dari pandangan. Dalam dada yang sesak berbaur sebak, Ennie terkenangkan nota ringkas yang dicoretkan untuk Seiya san. Dikepilkan bersama cenderahati tanda mereka pernah bertemu dan menjadi akrab.
Shimada Seiya,
Selamat berangkat. Semoga tidurmu aman dan lena. Tanpa arak dan puntung-puntung nikotin. Lupakan aku, walau masih tersisa kasih dalam diri. Lupakan aku, jangan ada sebarang harapan lagi.
~Ennie~
Sahabatmu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan