BERTAHUN dia menghirup udara negara empat musim yang begitu ingin dihuninya seketika dahulu. Bukan Bibah tidak sayangkan keindahan musim bunga atau musim gugur di mana kakinya begitu seronok menguis daun maple yang berselerakan di lantai taman. Malah dia gemar mengepal-ngepal salji ketika musim dingin tiba. Gumpalan salji yang selalu dikepalnya sering mengingatkan Bibah kenangan manis bersama Lina dan Zaki. Ketika mereka bertiga minum ais kacang kegemaran Bibah di warung berhampiran Kolej TM dahulu. Kini salji yang dikepal terasa seperti mengepal bebola api.
Musim panas pula, seringkali membuatkan dirinya begitu rindu untuk kembali ke tanahair tercinta. Bumi bertuah, di mana suara azan boleh didengari lima kali sehari. Dia sudah bosan dengan waktu malam yang bising hiruk-pikuk kenderaan. Bunyian segala macam siren kecemasan selang jam tanpa henti. Jeritan siren keretapi dari stesen terdekat yang tidak pernah mahu mati. Benar, suara azan dan suara bacaan doa dan kalimah-kalimah Tuhan dari masjid-masjid tanah kelahirannya dahulu. Itulah yang paling Bibah rindui. Bibah sedikit bosan, ada sebegitu lohong kesunyian berpintal seakan dua tali layang-layang terliuk-liuk menari dil langit kemudian bercantum antara satu sama lain. Kusut dan sesak bermaharajalela di dalam diri. Antara dendam kesumat yang tidak pernah padam terhadap Aril dan kerinduan mendalam terhadap sahabat dan keluarga yang ditinggalkan kira-kira sepuluh tahun lalu.
Kejayaan yang dimilikinya kini, sedikit sebanyak menampuang kelukaan hati Bibah. Bagaimanapun ia adalah perlaburan sama sekali gagal meredakan rasa sunyi seolah belati tajam menikam ulu hatinya tanpa henti dan belas. Akhirnya, Bibah mulai memahami, mengapa dia harus pulang ke tanahair. Dia wanita tiga puluhan yang sunyi jiwa. Seorang perempuan tanpa cinta; tanpa kasih sayang kerana secalit kisah cinta lama yang berpanjangan menjadi dendam dan trauma. Dahulu sahabat, keluarga dan tanahair tercinta ditinggalkan kerana mahu membuktikan sesuatu kepada seorang lelaki bernama Aril. Di negara empat musim yang indah ini pun, pintu hatinya ditutup rapat-rapat. Diselak rapi; agar sejarah hitam bersama Aril tidak berulang.
Saban malam Bibah dalam wajah comel polos; berkemaja T dan berseluar denim turun menjengah; melihat-lihat jika ada kedai yang masih dibuka. Neon sentiasa bergemerlapan dan udara kadang hangat, kadang dingin mengikut rentak tari musim. Hanya pasar mini berhampiran masih dibuka dan dia membeli secawan kaffien untuk diteguk. Kadang dia turun, bukan semata mahu menghirup kaffien. Dia sekadar mahu diri terlepas seketika dari merasa terkurung di apartmen sempit rimas harga sewanya mencecah puluhan ribu yen.
Dari kaki lima pasar mini tersebut, bebola mata Bibah pastinya tertancap pada jalan lurus depan apartmen mewah dan landasan keretapi di seberang sana yang terang-benderang. Bibah selalu terfikir betapa dia tidak betah berlama-lama di sini lagi.
Bibah membayangkan, jika dialah penghuni apartmen mewah itu barangkali dia akan mati ditemani seekor kucing comel. Bibah maklum, kerana dia tidak mungkin memelihara anjing comel seperti mereka yang tinggal di kota besar itu. Lantaran itu, Bibah membuat suatu resolusi penting. Pulang ke tanahair. Memindahkan aktiviti perniagaan dan kerjayanya di tanahair sendiri. Sudah lama dia menjeruk rasa; rajuk dendam yang tidak pernah padam hingga dia snggup berkelana meninggalkan mereka yang menyayanginya.
* * *
Serabut sinar matahari pagi pecah dari balik punggung kotak-kotak besi berlingkar memanjang seakan seekor ular. Kesegaran udara pagi mula mencanak turun. Suhu semakin bertingkat darjah kepanasan. Para penumpang termasuk Bibah mula kelihatan resah. Enjinnya bingit sekali, berselang-seling bunyi siren. Berhadapan dengan stesen itu, ada sebuah lagi kenderaan yang serupa pamit menuju ke destinasi kontra. Warga Kuala Lumpur dipusingkan kesibukan mahu keluar bekerja. Kuala Lumpur yang ditinggalkan sudah jauh berubah.
Pelbagai promosi yang menempel di luar dan dalam dinding. Segala macam bentuk, warna dan rupa. Hati Bibah tidak henti-henti menyumpah. Dari promosi program tivi sampai iklan makanan segera. Bibah terasa matanya sakit. Mungkin sepuluh atau dua puluh tahun lagi, senjata api dan segala peralatan membuat bom pun akan terpampang di situ. Fikir Bibah. Dia merasa sedikit terganggu. Wajah tanahair tercinta dan gelagat warganya saling tidak tumpah seperti yang ada di negara yang ditingalkan sebulan lalu. Bibah sedikit terusik dipaksa melihat perempuan-perempuan ramping menggiurkan memperagakan diri. Semuanya, dilakukan di atas dasar cari makan dan tiket ekonomi.
Walau perasaan sebal merayap-rayap di dalam hati; Bibah gagahkan diri untuk bersikap tenang dan selamba. Keretapi terus meuju ke destinasi yang diprogramkan. Mata Bibah tertancap pada aneka tiang tertanam di sepanjang perjalanan. Di situ pun, ada segala macam promosi. Malah papan iklan sebesar gergasi itu pun, menjadi sumpahan Bibah. Seorang lelaki tua dengan rompi kuning kusam merenung Bibah. Sekumpulan gadis muda berpinggang ramping juga memandangnya. Sekumpulan anak muda, kurang adab tertawa sambil berbisik-bisik memandang ke arahnya.
“Menyampah!!!” hati Bibah menyumpah lagi. Tiba-tiba, hati kecilnya bertambah sebal dijentik kenangan sepuluh tahun silam.
“Macam Bibah ni tiada apa-apalah. Comel juga kan?” kata-kata lembut manis Aril masih terngiang-ngiang di telinga Bibah. Bibah tersenyum malu. Hatinya berbunga-bunga. Terasa dirinya dengan disoroti limpahan lampu warna-warni. Dilingkari cahaya berwarna pelangi. Riiak wajah Bibah tiba-tiba berubah. Umpama langit cerah, yang tiba-tiba mengarak mendung. Bibah kembali mengenang pembohongan dan penipuan Aril. Aril telah mengoyak cinta dan perasaannya semata-mata mahukan wang seribu ringgit Malaysia
* * *
“Kau takut...kau malu...ha! ha!. Itulah cabarannya. Atau kau takut, kau benar jatuh hati dengan si Bibah tu,” cabar Fendi bersngguh-sungguh.
“Kalau aku betul-betul ada hati dengan dia, kau boleh potong kaki aku ni...,” ujar Aril penuh takbur.
Zaki sekadar menjadi pemerhati. Dia tidak mengiyakan, mahupun membangkang. Zaki perhatikan riak wajah Lina di sisinya. Ternyata Lina juga tidak senang walaupun sekadar gurauan. Aril akan mengambil serius. Zaki kenal benar sikap Aril.
“Kesian Bibah,” getus hati kecil Zaki. Kemudiannya, dia dan Lina bersetuju untuk membongkarkan rahsia Aril di depan Bibah setelah nasihat mereka ditolak Aril.
Zaki maklum bukan mudah mahu menyedarkan manusia sedegil Aril. Dia cukup kenal sepupunya itu. Jika putih pilhan si Aril, putihlah. Dia tidak akan memperdulikan pandangan sesiapa pun. Zaki pernah nampak Aril bergaduh sakan dengan abahnya kerana mahukan telefon bimbit baharu. Aril anak tunggal; terlalu dimanjakan Mak Cik Zubaidah, ibu saudara Zaki. Segala kehendak Aril sentiasa dipenuhi. Didikan tidak kena gaya telah menjadikan Aril manusia sombong, ego dan pantang dicabar.
Namun mereka berdua tidak sempat menyelamatkan Bibah dari pembohongan dan bahan permainan Aril, Fendi dan lain-lain. Aril dan kawan-kawannya terlebih dahulu licik merancang strategi. Sukar bagi Zaki dan Lina mencelah; menyelamatkan sahabat karib mereka dari penipuan itu.
“Kau berdua jangan campur urusan aku!,” herdik Aril apabila Zaki cuba menasihatinya; sambil menuding jari ke arah mereka berdua.
Bagaimanpun, muslihat Aril terbongkar. Umpama bangkai seekor tikus yang tersembunyi di celahan kabinet, Bibah tercium juga bau busuknya. Saat Bibah mendapat tahu dari Zaki yang tidak sampai hati melihat dia diperjudikan; Bibah terasa mahu turun ke rel mendepangkan tangan. Entah bagaimana, dia boleh terlupa Tuhan dan dosa besar. Dia masih ingat, bagaimana Zaki dan Lina menarik tangannya. Masih terngiang-ngiang di kuping telinganya segala hinaan Aril. Cebikan wajah Aril terbayang-bayang sehingga kini. Begitu juga gelak tawa Fendi dan mereka yang lain ketika dia bersemuka tentang kedudukannya dalam hidup Aril. Cacian Aril masih tersusun rapi terpeinci di dalam kotak memoriya. Bagai bilah-bilah pisau tersusuk satu persatu di celahan hati Bibah. Masih tersimpan kemas dalam lipatan kenangan.
“Cuba kau guna otak Einstein kau tu. Ada ke lelaki, nakkan anak gajah macam kau ni?” sambung Aril sambil mencebik.
Masih terbayang-terbayang, bagaimana Aril lansung tidak memperdulikan tangisannya, Malah dengan bongkak, Aril tidak sabar-sabar menuntut wang taruhan dari Fendi. Bagaimana dia boleh tertipu dengan pendustaan Aril. Hatinya sakit dan sebak mengenangkan kebodohannya memberikan ruang kepada penipuan lelaki itu. Gelagat Aril mengibas-ngibas dan mencium kepingan-kepingan wang RM1000 dengan gembira dan bongkak sentiasa ada di skrin ingatannya. Cerita silam yang melekat di ingatan Bibah terbang seketika; dikejutkan suara opearator membuat pengumuman dan tren terus meluncur ke destinasi seterusnya.
* * *
Bibah masih keseorangan. Zaki dan Lina sudah berkahwin hampir sepuluh tahun lalu. Sepuluh tahun, bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Luka di hatinya tidak pernah dirawat. Bisa kelukaan tidak pernah ditawarkan dengan apa-apa pun. Jika pun boleh dirawat, siapakah yang boleh merawat dan menawarkan bisa kelukaan yang begitu mendalam? Apakah yang dapat mengembalikan harga dirinya yang hilang? Fikir Bibah.
Ada ketikanya sebelum matanya pejam, Bibah akan duduk-duduk di hadapan cermin mrenung sambil meraba lemak-lemak yang terkumpul perut, paha, lengan dan di bawah daguny. Pagi pun sama. Petang pun begitu. Hari-hari berikutnya adalah sama sejak dia meningkat remaja. Mulanya, dia tidak kisahkan semua itu. Namun sejak Aril menjatuhkan harga dirinya di depan khalayak, dia menjadi pemurung. Bibah pernah cuba menurankan berat badan hingga jatuh sakit. Ibunya bimbang setelah mengetahui cerita sebenar; lantas bertekad menghantar Bibah ke luar negara menyambung pelajaran dalam rekaan fesyen dan jahitan. Kursus yang sama diambilnya sewaktu di Kolej TM. Dia eggan pulang selagi tidak memiliki sesuatu yang boleh dibanggakan. Lalu Bibah rela berkelana dari kota ke kota di negara asing. Kali terakhir dia pulang ke tanahair ketika menziarahi kembali ke Rahmatullah dua tahun sebelum pengajiannya tamat. Sesudah tamat pengajian, Bibah nekad. Usaha gigih Bibah dan sokongan moral serta kewangan salah seorang rakan niaga Allahyarhamah ibunya, membawa dia ke mercu kejayaan. Bibah berjaya membuka butik dengan jenama sendiri. BIB’s Collection menjadi fenomena di kalangan remaja perempuan dan wanita sepertinya.
Kini, Bibah antara usahawan wanita yang cukup dikenali dan disegani. Siapa tidak kenal Cik Noor Habibah Sabrina Abdullah. Cerita-cerita mengenainya terpampang di media cetak, majalah fesyen dan kadang dia ditemubual di rangkaian radio dan televisyen tempatan. Bagaimanapun, hidupnya masih kekosongan. Sunyi hatinya ditampal dengan bekerja dan berkerja keras. Gigih meluaskan empayar perniagaan butiknya. Secara khusus memperagakan pakaian dan perhiasan untuk wanita yang bersaiz xxl sepertinya. Semenjak ibu tercinta kembali ke Rahmatullah, Zaki dan Lina serta dua anak mereka adalah keluarganya. Pernah Lina dan Zaki cuba memperkenalkan Bibah kepada salah seorang kenalan mereka. Akibatnya, seminggu Bibah tidak bertegur sapa. Semenjak itu, mereka biarkan Bibah dengan dunianya.
Jauh di sudut hatinya Bibah tahu, apa yang dilakukan Zaki dan Lina adalah demi kebaikannya. Kata-kata Lina, ada asasnya. Sampai bila dendam kesumat ini harus dibiarkan memamah diri? Mungkinkah sehingga nyawanya diangkat pergi? Di sebalik gurau dan hilai tawa Bibah, ada sesuatu yang meminta kekosongan hati diisi. Namun, hatinya yang berparut itulah, menyebabkan dia menyendal semua pintu hati untuk cinta dan kehadiran lelaki.
* * *
Semalam, sebaik turun dari tren komuter di KL Central yang udaranya sesak di waktu puncak, Bibah terpandang seseorang. Seseorang yang pernah membuat perasaannya terbuai. Dadanya tiba-tiba jadi betambah sesak dan adrenaline meluncur laju di serata urat tubuhnya. Seseorang yang cukup dikenalinya. Berkerusi roda. Kelihatan daif dan keletihan amat. Pandangan mereka jadi satu. Bibah terasa mahu pergi dan mengulang ayat itu. Ayat yang hampir-hampir meragut nyawa dan imannya.
“Berada di dalam keadaan begini bukan apa-apalah. Comel kan?”
Tapi ada sekelumit suara halus melarangnya. Namun Bibah hampiri juga lelaki itu. Menyapa dan bertanya khabar. Entah bagaimana, tiba-tiba sirna segala dendam dan amarah yang puluhan tahun disimpan. Aril kelu. Hanya matanya yang berkaca-kaca. Bibah ingin bertanya lanjut. Tapi tren untuk untuk dia berangkat ke destinasi seterusnya sudah tiba. Dia perlu bergegas. Tren semakin pantas meninggalkan lelaki yang mengoyak-rabakkan cintanya dahulu. Sesudah selesai segala urusan dia terus ke pejabat Zaki dan Lina. Mahu cepat-cepat tiba. Barangkali itulah perkara yang mahu Lina perkatakan tempohari.
“Lepas tu, apa jadi?” Bibah kepingin tahu. Kemudian dia diberitahu tentang kemalangan yang menimpa Aril dan keluarganya yang tidak sudah-sudah dirundung masalah.
“Boleh kau tolong aku? Berapa yang Aril perlukan...,” pinta Bibah tiba-tiba bersunguh-sungguh. Kedua pasangan suami isteri itu terkesima. Malah, mereka diminta pula merahsiakan bantuan kewangan tersebut. Bibah tahu, mereka sedikit cuak dengan niatnya.
”Kenapa kau buat semua ni Bibah? Kau masih sayangkan dia? Masih mengharap dia?" Soalan demi soalan semuanya tergantung dalam kepala Bibah. Akhirnya Bibah bertemu jawapan. Benar, seperti yang Zaki pernah ucapkan dulu. Semua yang berlaku punya hikmah tersendiri. Ada karma untuk setiap perlakuan manusia; Bibah tersenyum lega. Segala bebanan perasaannya seolah diangkat pergi. Kembali kepada Aril? Bukan itu pokok pangkal segala persoalan.
Zaki menangguk berkali-kali sambil memandang wajah Bibah. Sebenarnya, dia sudah lama sedar. Sebalik lemak-lemak terkumpul pada tubuh Bibah, ada seketul daging yang cantik sekali rupanya. Sekeping hati yang pemaaf!
Aril juga sedar. Betapa dia gembira bersama Bibah. Senda gurau Bibah menyenangkan hatinya. Malang sekali Aril pura-pura buta hati. Hanya Zaki yang tahu betapa deritanya Aril selepas pemergian Bibah. Zaki tahu, sepupunya itu benar-benar sudah jatuh hati pada Bibah. Tapi dek kerana malu dengan keadaan fizikal Bibah, Aril memcampakkan perasaan itu ke jurang paling dalam. Sewaktu melihat Bibah ditertawakan, betapa hati Aril tiba-tiba terasa ngilu. Demi sebuah ego, ditahan segala. Dinafikan kata hati sendiri. Kecuali Zaki dan Lina; tiada siapa tahu, hari-hari beikutnya hidup Aril seakan hilang seri. Biar pun dia sering ditemani gadis-gadis cantik bersilih ganti. Musibah demi musibah yang menimpa diri dan keluarganya membuatkan Aril meyakini kebenaran kata-kata Zaki. Benar! Karma sedang meracuni hidupnya.
Hari bersilih ganti dan Aril sudah pulih sepenuhnya. Dia mula mengorek rahsia.
“Tolonglah Zaki, Lina....sekurang-kurangnya aku mahu ucapkan terima kasih kepada insan yang berbudi dan memberikan aku harapan baru,” pinta Zaki sepenuh hati. Pasangan suami isteri itu merasa serba salah; apatah lagi keluarga Aril juga turut mendesak.
“Bibah...Bibah kah orang tu?” Aril cuba-cuba meneka. Zaki sekadar mengganguk.
* * *
Pintu wad tiba-tiba diketuk dan dikuak lebar. Zaki dan yang lain-lain terutama Aril terkejut besar.
“Maafkan aku Aril. Bukan aku tak sudi. Aku sudah pun maafkan kau, pada hari kita terseempak di stesen keretapi tempohari. Beginilah Aril, kita pulangkan kepadaNya. Buat masa ini, aku belum cukup bersedia,” ucap Bibah penuh kejujuran; menolak lembut permintaan Aril untuk kembali bersama..
“Bertahun aku menatang hujan di langit Aril, masakan tawar air di laut,”getus hati kecil Bibah.
Sekali lagi, Bibah merasa puas. Kejayaannya, mengembalikan harga diri yang terpulas digenggam kemas!
*TAMAT*
Tiada ulasan:
Catat Ulasan