Selasa, 3 Ogos 2010

LAGENDA KAMPUNG MAHA LABA


Petikan entri blogger-blogger terpilih GT 2008


Dulu-dulu. Pertengahan 1960an. Ada sebuah kampung di Jepun. Kim san bercerita pada aku dalam bahasanya. Dialek Osaka pekat. Dan. Kawakita san menterjemahkan untuk aku dalam bahasa yang aku kurang faham itu. Berulang kali. Supaya aku faham. Dan akhirnya aku faham.
Kata Kim san, di Jepun ramai ibubapa yang membunuh anak-anak istimewa mereka pada abad itu. Kim san bercerita padaku. Sungguh-sunguh. Dan Kawakita san menterjemahkan segalanya dengan teliti supaya aku faham. Dan akhirnya aku faham. Studio Taihen di pekan Nishiawaji yang hangat waktu itu jadi saksi Bagaimana Kim san berkisah dan Kawakita san menterjemahkannya. Dan aku mendengar dengan penuh minat. Kisah sedih itu.

Dulu-dulu. Kata Kim san. Antara golongan kurang upaya, cerebral palsy adalah golongan yang paling hina dan rendah taraf. Paling tidak difahami. Cara bergerak,makan,bercakap lansung tiada persamaan. Lalu mereka dihina, disisihkan dari masyarakat. Sehingga ada ibu yang sanggup membunuh anak-anak ini. Bahkan masyarakat pada zaman itu, sanggup meminta diringankan hukuman bagi ibubapa yang membunuh anak-anak ini. Zalim sungguh.
Lalu
Golongan cerebral palsy yang tersisih ini, membawa diri dan membuka perkampungan baru. Mereka hidup berkasih sayang,berkerja, beranak-pinak dengan cara mereka. Jauh dari masyarakat umum. Cerita Kim san. Dan Ayako Kawakita yang manis berlesung pipit itu menterjemahkan. Sungguh-sungguh. Agar aku tidak tersalah faham.
Suatu hari. (ada unsur- unsur suspen di sini, jika difilemkan). Kim san meneruskan ceritanya. Kawakita san menyambungkan terjemahannya. Mereka sambil meneguk secangkir teh hijau dingin tanpa gula. Dan. Aku menelan lior kerana hari itu merupakan bulan Ramadhan yang mulia.
Sautu hari, ada di antara mereka yang mau keluar dari kampung tersebut. Ada di antara mereka dikurniakan anak-anak normal dan mereka punya hasrat untuk membesarkan anak-anak mereka di kalangan masyarakat umum. Kim san menyambung kisahnya. Kawakita san menyambung terjemahannya. Aku mendengar dengan penuh minat. Bertambah minat. Bertambah khusyuk.
Dan
Penduduk kampung Maha Laba ini mula berpecah belah. Tidak sefahaman lagi. Ada parti cap kapak dan ada parti cap keris,tombak dan sebagainya. ( Baca : ini bukan cerita Kim san. Aku pandai-pandai menokok tambah). Pendekata orang kampung Maha Laba ini,sudah tidak sehaluan. Ada yang bergaduh untuk benda remeh-temah seperti merebut pasangan. Kim san terus menyambung ceritanya dan Kawakita san terus menterjemahkan dengan setia. Aku mendengar tanpa lelah.

Dan

Akhirnya kampung itu musnah. Dilanda wabak perang saudara. Dan. Di waktu itu, baru masyarakat dan kerajaan Jepun mula terbangun dari mimpi. Baru mereka sedar, manusia kurang upaya juga ada suara. Dan mereka maukan hak mereka. Selepas tumbangnya Kampung Maha Laba lewat 1960an, Kim san meneruskan ceritanya; muncul " The Blue Grass" aktivis. Di mana Kim san turut terlibat. Dan polisi-polisinya agak mengejutkan kerajaan dan masyarakat Jepun di waktu itu. Dan. Inilah polisi-polisi itu.
“The Blue Grass Policies”
1. We identify ourselves as people with “Cerebral Palsy”
We recognize our position as “an existence which should not exist” in the modern society. We believe that this recognition should be stating point of our whole movement, and we act on this believe.
2. We assert ourselves aggressively
When we identify ourselves as people with CP, we have a will to protect ourselves. We believe that strong of self – assertion is the only way to archive self protection, and we act on this belief.
3. We deny love & justice
We condemn egoism held by love & justice. We believe that mutual understanding, accompanying the human observation which arises from the denial love and justice, means the true well-being, and we act on this belief.
4. We deny civilization/culture made by non disabled,
We recognized that the current culture, which made by none disabled culture, is formed by excluding people with CP. We believe that developing our own culture from our daily living and movement will condemn current culture, and we act on this believe.
5. We do not choose they way of problem solving
We learn from personal experiences that easy solution to problems lead to dangerous compromises. We believe that an endless confrontation is the only course of action possible for us, and we act on this belief.
Dan aku bukan penterjemah yang baik.
Itulah kisahnya. Bagaimana orang kurang upaya di Jepun memperjuangkan hak mereka. Pekan Nishiawaji yang hangat,jadi saksi pertemuan kami. Tiada bunga sakura berkembangan kerana bukan waktunya


Nota kaki:
Maha Laba dari perkataan sankrit bermaksud " a lot of cry" (kampung yang banyak tangisan).

Isnin, 2 Ogos 2010

PELANGI CINTA WATANABE


Makluman: Ini adalah karya kedua saya dan yang paling saya suka


MALAM itu dingin. Gelap kehitaman menempel pekat di dada langit. Bagai contengan rona hitam yang dipalit-palit tanpa tujuan di atas kanvas siang tadi. Malam. Gelap dan hitam. Kedinginan yang menyentak tubuh.
Ninnie cuma bersendirian. Dia seolah mendengar langit gelap berbisik, “Dia telah membuatmu menangis, adakah kau mahu terus mencintainya?” Ninie bungkam. Dia masih mendongak ke langit yang gelap. “Wahai bintang, apakah kau meninggalkan langitmu malam ini?”
Angin berhembus semakin perlahan dan kedinginan semakin terasa. Mungkin sekadar berkongsi rasa bersama gadis istimewa itu. Dentuman guruh cuma sesekali. Renjatan kilat sesekali mencorak langit agak menakutkan; tapi gadis itu seakan sudah lali dari segala ketakutan.
Ninnie berdiri tegak dan mendongak kepalanya. Matanya masih tertancap pada langit yang menghadap koridor belakang apartmen sempit yang disewa sejak berhijrah ke ibukota. Kedua belah tangannya yang tidak bertapak apatah lagi jejari diangkat perlahan; membetulkan rambut yang terurai ditiup angin.
Kemudian dia duduk di lantai simen yang beralaskan tikar getah separa lusuh. Kedinginan semakin meratah tubuhya. Diangkat sebelah kakinya, mengemaskan lagi rambutnya yang terurai. Anugerah anggota tubuh bernama kaki itu antara anggota bermakna dan istimewa bagi Ninnie. Kaki itulah segalanya bagi dia. Pelbagai guna. Menggantikan sepasang tangan yang tidak sempurna. Memengang sudu ketika makan, menyisir rambut yang terurai panjang hingga mencari punca rezeki iaitu melukis.
Ninnie khayal. Menghirup bau hujan yang sedang riuh berguguran; menumpah jatuh menyuburkan bumi. Dia sedikit resah dengan tubuhnya semakin didakap kedinginan. Namun mengingati lelaki asing yang ditemuinya siang tadi, kembali menghangatkan perasaan.
Segar udara malam itu, sesegar kuntuman senyum nakal yang terpamer di wajah lelaki asing yang memperkenalkan dirinya sebagai Ryuichi Watanabe. Ninnie pasti. Lelaki itu cuma tertawan pada hasil kerjanya. Bakat seni yang dimilikinya. Bukan dirinya. Ninnie sedar situasi itu. Ninnie tahu di mana kedudukannya.
”Maha Suci Tuhan!” Bisik hati kecilnya. Dia tertanya-tanya ujian apakah yang sedang Tuhan ciptakan untuknya kali ini.
Deria bau milik hidung comelnya tercium aroma teh hijau yang baharu dibancuh. Enak diminum di kala dingin malam hujan begini. Rasa tawar kelat teh pekat yang enak disantap bersama kepingan-kepingan biskut sambil mengunyah suatu kenangan manis seumur hidup. Jatuh cinta!
Cinta untuk seorang lelaki asing yang pernah membuat langkahnya seolah imun terhadap graviti. Setiap kali dia mengingati Watanabe san, Ninnie terasa jiwanya seakan kuntuman bunga lalang. Ringan melayang dipuput angin.
“Saya Watanabe, Ryuichi Watanabe. Dari Nishiawaji, Osaka Saya diberitahu, saya bisa bertemu kamu di sini,” Petah lelaki asing itu bersuara.
“Suriani san bukan?” Dia menyambung. Setelah melihat Ninnie terpinga-pinga dan sedikit tergamam. Ninnie sekadar menganguk-anguk.
“Saya sukarelawan untuk pusat ini. Baru seminggu. Saya membantu unit fisioterapi. Saya dimaklumkan hasil karya Suriani san sangat menarik. Jadi saya mahu berkenalan dengan tuan punya lukisan-lukisan ini sekali,” Ramah sekali Watanabe san bersuara. Diiringi lirik mata nakal. Ninnie tersipu malu diperlakukan begitu. Petah kata gurauan Watanabe san seolah mereka sudah berabad mengenali.
“Okay, kita boleh berkawan,” Ninnie besuara yakin.
“Kemudian kita kahwin ya...ha! ha! ha!,” Gurau Watanabe san bersahaja.
“I do,” Diikuti ketawa mereka bedua.
Semenjak itu mereka menjadi sahabat. Dalam diam, Ninie mula menaruh hati terhadap pemuda asing itu. Namun Ninie tahu, Watanabe san hanya menganggapnya sebagai seorang kawan. Sahabat yang akrab. Sahabat yang cuba mempelajari tentang bangsa, budaya dan pengangan agama masing-masing. Hubungan yang sama sekali tidak pernah melintasi sempadan bernama cinta.
Ninnie, perawan manis yang tidak lagi mengingini apa-apa isi dunia. Tidak perlu alat solek mahal. Tidak mahu kamera digital. Dalam hati dia sering tumbuh doa yang pelbagai untuk diri dan keluarga tercinta sebelumnya kini tinggal satu. Lelaki asing itu bukan pelangi atau sore; indah dan cepat berlalu pergi. Bertandang dan menghilang. sepantas renjatan kilat.
Andai mimpi boleh dipinda ganti dengan kenyataan, Ninnie mahu Watanabe san menjadi oksigen dalam udara. Berlegar-legar di persekitaran, masuk ke dalam darah, mendengar apa yang dirasa dan difikirkannya; semuanya tentang si lelaki asing yang telah menyebarkan atmosfera tidak rasional di belukar rasa yang mencanak tumbuh di dada, hati dan mindanya. Dia pula, mahu menjadi matahari yang menyinar di kala siang ;rembulan dan bintang di kala malam untuk lelaki idamannya.
Semua orang bertanya. Rakan sekerja dan taulan bertanya tentang lelaki asing yang selalu mereka lihat bersama Ninnie. Mereka mahu tahu lanjut tentang lelaki pujaan hatinya.
“Ninnie, bagaimana kau boleh akrab dengan Watanabe san? Lelaki asing yang kau cintai separa mati itu? Tanya salah seorang. Lia, sahabat karibnya. Sekadar mewakili teman-teman lain yang tidak mahu melihat Ninie menangis dan kecewa.
Ninie menjawab hanya dengan pandangan kosong. Kemudian senyumam manis menguntum tanda kegembiraan berbunga-bunga dalam hati. Dari lirik matanya; dia tahu mereka melihat sesuatu yang hidup dan bergerak. Lelaki itu bukan putera kayangan bersayap pari-pari. Dia juga barangkali bukan pula kecintaan para malaikat.
Watanabe san, lelaki bercacah di lengan kanan; senyum manisnya tidaklah begitu menggoda. Sekadar wajah dengan senyuman kacau nakal itulah yang justeru selalu menghambat Ninnie. Bukan senyuman milik si pelakon popular walau nama mereka serupa. Bukan kenakalan milik para cherubim atau kecerdasan khas seraphim.
Sekadar senyum kacau nakal remaja dalam diri lelaki biasa yang juga menganjak dewasa. Ninie terus tertarik hati untuk terfokus pada lelaki yang begitu ingin dikenalinya. Biasa-biasa. dan tidak sempurna. Manusia tidak sempurna seperti dirinya juga.
Ninie sememangnya berbeza. Jiran tetangga, sahabat taulan dan teman kenalan melihat begitu tentang perawan berusia dua puluhan yang sedang memanjat tangga kedewasaan. Semua orang mengingini kesempurnaan. Ninnie tidak pula begitu. Dia berfikir, kenapa harus menangis bila bibir sumbing, atau mata sedikit juling dan jerawat jeragat bertempek di pipi. Walau tubuh terus membelonkan saiz xxl.
Ketika gadis-gadis lain berfikir itu yang membuatkan mereka gagal memiliki sepotong kasih, Ninnie sekadar tersenyum. Katanya, kekasih bukanlah sepotong kek manis yang dipaluti gula aising. Bukan sebiji donat perisa coklat yang ditaburi manik-manik berwarna.
Kekasih bagi Ninnie, juga manusia biasa. Bila-bila pun dia tidak mungkin memiliki semua yang dinginkan. Pasti ada sesuatu yang dalam dirinya adalah yang dicari dan dirindukan. Mungkin itu sekeping diri kalian, yang menyelinap dalam salah satu rongga jantungnya.
Mungkin juga, sesesak nafas yang suatu hari pernah hampir terambil tetapi ia sempat selamatkan. Mungkin kekasih, cuma belahan jiwa saja yang sudah tiba waktunya untuk datang saat mereka ingat bahawa cinta untuk insan sepertinya cuma sebuah perkara musykil lagi mustahil.
”Ninnie berapa kalikah kau bertemu dengannya? Dan benarkah kau cintai dia?”
Kepada teman-teman kenalan dan taulan yang bertanya, Ninnie menjawab,”Lelaki asing itu adalah ruh: cuma sekali ia temui, tapi masuk begitu saja ke tubuh kosong serupa lorong yang belum berpenghuni dalam dirinya, tinggal selamanya di sana,”
Dan ya, aku cinta padanya mungkin bagai air laut. Belum pernah terkurung masinnya. Mungkin juga, bagai sirap bandung yang selalu kami minum bersama. Tidak pernah terkurang manis dan lemak campuran susunya.” Sambung Ninie sambil tersenyum.
”Ninnie, jikalau dia pergi bagaimana kau nanti?" Tanya Lia, yang kelihatan lebih gusar. Bimbang jika Ninie tidak mampu menaggong kekecewaan. Lia tahu rasa itu kerana dia berulang kali melaluinya. Namun, Lia akur dia tidak mampu mengubah pendirian Ninie. Teman-teman yang lain juga begitu. Lantaran itu, mereka hanya mendoakan yang terbaik buat gadis itu.
Ninnie berusaha untuk terus meyakini sahabatnya itu dan yang lain-lain juga. Ninnie tahu mereka menyayangi dan mengambil berat tentang dirinya.
Dia sabar, tenang,dan masih tersenyum sopan. Ninnie yang beranjak dewasa; begitu yakin mengatakan apabila ruh itu pergi darinya, sesuatu yang bundar besar akan meninggalkan lubang di dadanya. Tetapi mengertikah mereka tentang makna kosong?
Lubang tidak berisi apa pun, ia masih tetap bisa ada isinya meskipun tiada apa-apa lagi di sana. Sama siuasinya seperti penuh, yang sesungguhnya bisa jadi tidak ada apa-apa lagi meski dengan mata telanjang kita melihatnya masih sempurna ada di sana.
Jadi bila lelaki asing pergi meninggalkannya, Ninnie bakal mendoakan hari-hari yang terbaik buat dirinya. Buat Ryuichi Watanabe juga. Hari-hari yang sama di mana semuanya kelihatan baik; pada saat kenangan indah bersama Watanabe san berada dalam ingatannya.
”Mahu tahukah kau seperti apa cintaku itu? Cinta tidak terbalas yang meski membuatku sedih, tapi aku sentiasa positif dan biasa-biasa saja menanghadapinya” Ninie berhujah demikian, apabila para tetangaga dan teman-teman taulan cuba mempertikaikan cintanya. Hanya dalam minda. Secara fizikal, tiada sesiapa pun di hadapannya.
Cinta, bagi Ninie tidak rasional dan tak mungkin terukur. Cinta yang liar dan surrealism. Cinta yang sangat kritis dan mempertimbangkan banyak hal dalam memahaminya. Cinta yang layak ditabur seorang lelaki asing yang sedang berziarah untuk beberapa purnama di tempat dia mencari sesuap nasi. Melukis sambil mengajar anak-anak yang senasib dengannya melukis. Cinta yang ditemui Ninnie dalam waktu-waktu yang sengaja tidak ingin dikawalnya.
Angin berhembus dan memutarkan daun-daun menguning keperangan yang gugur. Bintang sesekali tidak akan jatuh, tanpa keizinan Sang Pencipta. Waktu pun berangkat dan musim berganti.
Tetangga diam. Teman taulan diam dan ada juga yang bersimpati. Mereka terharu dengan kejujuran Ninnie. Ketulusan hatinya, mencintai pemuda asing itu tanpa syarat. Ada juga yang menyumpah seranah dan menganggap dia begitu tolol. Kadang Ninnie agak tersinggung dengan sindiran-sindiran mereka. Lebih pedih dan sakit, jika dibandingkan dengan cintanya yang tidak berbalas.
Di dada perawan ini, kini pokok pengertian pun tumbuh membugar. Salah satu kebaikan dari hidup yang jarang dihitung adalah ketika Tuhan memberikan ruang untuk rasa sakit. Rasa sakit yang tulus, hingga Ninnie mampu menghayatinya dan melihat bahawa sakit adalah teman.yang mengajar banyak perkara yang baik-baik.
Kesakitan pada Ninie, bukan guru yang cukup baik untuk mengajarkan kebijaksanaan. Cuma dia terharu bagaimana cara kerja rasa sakit berfungsi. Rasa sakit mengajarnya untuk bertahan seteguh binaan tembok batu. Sekali dia mampu melalui rasa sakit kerana cinta, maka Ninnie yakin dia akan kuat untuk menghadapi rasa sakit bagaimana pun bentuknya kelak.
Itu yang dipelajari Ninie ketika dia mencintai lelaki asing surreal yang bagai angin: datang dan pergi dengan suasana sejuk dingin. Ada juga secuit kehangatan, dan rasa itu masih melekat. Menempel enggan tanggal. Terselit di desir darah dan ingatan yang menggumpal lembut.
Ryuichi Watanabe telah pergi semalam. Ninnie seakan melihat jenazah cintanya diusung pergi. Barangkali hampir sama rasanya, ketika kedua tangannya diambil Tuhan dalam satu kemalangan ngeri sepuluh tahun lalu. Tragedi yang menjadikan dirinya kurang upaya seumur hidup dan saat itu jualah dia menjadi yatim piatu. Meninggalkan Ninnie dalam kekosongan yang semampat belon besar yang diisi angin. Menunggu minit-minit terakhir untuk meletup dan berkecai.
Ninie, gadis yang sedang menapak dewasa memahami kesedihan sebagai sesuatu yang wajar dari signikan ketiadaan. Pada suatu hari, mungkin dia bertemu lagi dengan Ryuichi Watanabe; Ninnie telah mengatur sebaris janji dalam diri.
“Ya, bila kita ketemu lagi nanti, aku akan menjadi sehangat sahabat lama...”
Ninnie mahu bertanya khabar tentang anjing comel kesayangan Watanabe san. Malah dia berjanji akan tertawa saat Ryuichi Watanabe bercerita tentang gadis baharu yang singgah dalam jurnal kehidupannya. Ninnie mungkin akan berkongsi kisah cintanya setelah lelaki asing itu meninggalkannya. Mereka akan meneruskan kehidupan masing-masing. Di atas ukhwah persaudaraan; persahabatan berlandaskan kemanusiaan sejagat.
“Aku berjanji Watanabe san!” Ninnie terus tersenyum dan melangkah. Sepasang kornea mata cantik miliknya sentiasa tertancap ke hadapan. Di dadanya suci lagi optimis; tanpa sebarang jadam rasa gundah, payah dan resah.
* * * *
Malam itu, tidur Ninnie diulit mimpi indah yang paling panjang. Bersiar bersama di lorong sempit dalam sebuah taman kota kelahiran Ryuichi Watanabe; diapit pohon-pohon sakura sedang mekar berbunga. Dia bersolek tebal persis seorang geisha. Kimono berbunga kecil-kecil berwarna terang membaluti tubuhnya.
Mimpi yang membuat Ninnie tersenyum dan di waktu yang sama menangis ketika dia terjaga di waktu dinihari yang sunyi.

*TAMAT*

UME TERLEWAT KEMBANG


Makluman: Cerpen pertama saya.


BEBOLA mata Seiya San tidak dapat mengelak dari terus memerhati. Kadang-kadang berminit-minit dihabiskan waktunya dengan merenung wanita berusia awal tiga puluhan itu. Wanita berkulit sederhana putih dan bermata coklat kehitaman. Sejak mutakhir ini, pandangan itu semakin ramah dan mesra. Kadang kala mata kedua mereka bertembung. Seiya san terasa amat gelisah.

Cepat-cepat Seiya san beralih kedudukan dari pentas latihan. Berlari-lari anak ke luar dewan menghirup udara segar. Tangannya, meraba-raba poket kemeja jeans lusuh. Tersorok beberapa batang Mild Seven dan lighter. Dicucuh dan disedut batang berasap toksin itu perlahan-lahan. Dia merasa puas. Perasaan gelisah yang aneh itu reda untuk sementara.

Kemudian resah itu berdendang lagi. “Aduh! Mengapa dia? Mengapa dia? Dia kan...ahhh!!” Seiya san bergumam sendirian. Tidak sanggup dia menamatkan ayat itu.

Seiya san melangkah pantas ke café bersebelahan. Mahu mencari sesuatu yang boleh membasahkan tekaknya yang pijar. Mungkin juga seseuatu yang bakal meredakan perasaannya yang kian bercelaru.

Sebaik sahaja Seiya san mahu melabuhkan punggung, dia disergah dengan satu suara yang begitu sinonim dengan telinganya “Hei, buat apa di sini? Faiz san cari kamu tadi”.

Hampir-hampir dia tertelan sisa puntung berasap toksin yang sedang disedutnya. Ketawa Ennie berderai-derai. Mengekek-ngekek!

“Mana?” Seiya san cuba tersenyum menutup resahnya.

“Apa?” Balas Ennie sambil membetulkan anak tudung yang dipakainya. Kemudian membetulkan duduknya di sisi jejaka berusia tiga puluh lima tahun itu.

“Faiz san?” Seiya san sedikit meninggikan tune suaranya.

Hello, saya bukan tidak boleh mendengar. Saya cuma kurang pendengaran tau!” Ennie dengan nada sedikit merajuk..

“Maaf!” Seiya san seperti biasa akan menundukkan kepalanya.. Tipikal budaya keturunannya. Sifat Jepun sejati.

“Saya berguraulah. Encik Faiz, tuan pengarah kita sudah balik.” Ennie tersenyum simpul. Tambah manis dengan kedua lesung pipitnya.

Seiya san tersengih. Bibirnya masih mengepit puntung rokok yang berbaki. Kemudian ditenyeh-tenyeh ke dalam ashtray yang tersedia di atas meja. “Kamu sangat manis, ada lesung batu...“

Pecah lagi derai tawa Ennie. Bersungguh-sungguh!

Ano..ano...saya salah cakapkah?” Seiya san sedikit panik

“Bukan lesung batulah encik, lesung pipit” Ennie masih dalam nada tertawa.

Okay, Esok kita jumpa lagi. Arigatogozhaimas.” Ennie berlalu masih tertawa kecil. Meninggalkan Seiya san tertanya-tanya perbezaan antara lesung batu dan lesung pipit.

Bebola mata Seiya san tertancap pada tubuh kecil molek Ennie. Melangkah berhati-hati dalam hujan multi halus menuju ke arah Rizal,suami Ennie yang peramah dan berbudi bahasa. Pasangan bahagia itu berlalu sambil melambaikan tangan meninggalkan Seiya san.

Entah kenapa, tiba-tiba di hati kecil Seiya san tersarang rasa sedikit lara bercampur cemburu.

Seiya san teringat pertanyaan Ennie semalam. Dia belum lagi menjawabnya. Belum ada jawaban dan kata putus yang telus lagi jujur. Memori pertemuannya dengan Suharnie kembali menari-nari di dalam minda. Detik dia bertemu perempuan berketurunan Melayu yang rambutnya ditutup rapi hingga tidak pernah kelihatan terurai walau sehelai pun.

Sedikit sebanyak kekurangan wanita itu adalah ketidakupayaan kekal akibat penyakit yang pernah dideritai sewaktu kecil. Jalannya sedikit sengit, tercapik-capik dan terpaksa dibantu teman-teman terutama ketika menaiki tangga atau melintas jalan tanpa jejantas. Namun Seiya San tahu, semangat juang Ennie tidak pernah patah.

Wanita itu sentiasa dengan jeans dan baju T longgar. Kadang anggun santun mengenakan busana kebangsaannya. Bangsa yang pernah dijajah tanah mereka oleh nenek moyangnya. Bangsa yang pernah dikejami. Diperkosa gadis-gadisnya, dipenggal kepala pemuda-pemudanya dan seribu macam kekejaman lagi. Semua itu terselit dalam lipatan sejarah bangsa yang luka.

Ingatan Seiya san kembali menyoroti kompas waktu empat tahun yang lalu. Saat dia diberikan kepercayaan untuk mencari seorang wanita bernama Suharnie. Ketika mereka bertemu, Suharnie alias Ennie masih bujang. Bagaimana hati lelakinya tidak pedih. Selang beberapa bulan kemudian, dia diberitahu wanita yang berjaya mencuri hatinya itu sudah pun berkahwin.

Projek teater tanpa dialog itulah yang mempertemukan dia dan Suharnie. Seiya san merupakan pengurus produksi mewakili yayasan yang menaja teater tersebut. Selesai seisi latihan mereka akan duduk-duduk berborak kosong. Kadang berdua. Kadang bersama Lisa, kawan baik Ennie dan Encik Faiz.

Kerapnya mereka berdua. Mereka pun berbual. Sesekali pasal filem kerana Ennie menggemari filem-filem dari Negara kelahiran Seiya san. Kadang pasal seni lakon pentas yang sedang mereka usahakan. Selalunya pasal cinta; tentang hubungan lelaki dan wanita.

Suatu hari, Ennie bertanya. “Seiya san, jika awak jatuh cinta dengan orang kurang upaya, adakah awak sudi kahwini dia?”

“Rizal sungguh bertuah! “ Seiya san cuba mengelak pertanyaan yang membuatkan jantungnya berdegup pantas.

“Ya! Kami berdua memang bertuah. Hanya berjumpa beberapa bulan, terus saja kahwin” Balas Ennie. Tersenyum lagi.

Senyuman itu tidak sedikit pun meneduhkan gelisah hati Seiya san. Malah mengundang rasa cemburu yang mendalam. “Kamu benar-benar cinta dia?” Seiya san ingin tahu.

Ennie hanya tersenyum. Sama sepertinya, yang menyembunyikan jawapan kepada soalan Ennie di sebalik tembok hati yang dipagar rapi.

* * *

Petang itu, soalan Seiya san tidak lagi tergantung tanpa jawapan. Hujan masih rintik dan Ennie duduk-duduk bersantai di balkoni sempit apartmen murah yang dimiliki Rizal. Petang itu menjadi saksi. “Kamu benar-benar mau tahu? Okay, saya selalu belajar mencintainya dan sampai sekarang pun saya sedang dalam proses itu. Yang saya pasti, dia sangat menyayangi saya dan saya terima dia seadanya!”

“Ah! Kau tidak mungkin bisa mengerti keadaanku, Seiya san. Aku, wanita mencecah tiga puluhan. Wanita yang terdesak untuk mendapatkan status seorang isteri, ibu.dan membina sebuah keluarga. Status yang paling tersanjung dalam masyarakat kami.” Ennie bermonolog dengan diri.

Suharnie tahu. Apabila ada seorang lelaki berbudi dan baik akhlaknya bertandang hadir; harus pintu hatinya terbuka juga. Rizal mahu menikahinya; haruskah dia menolak lelaki itu dengan alasan paling bodoh dalam dunia. “Menolak kerana tidak mencintainya” sebagai contoh. Alasan tipikal itu, barangkali cuma sesuai digunapakai ketika dia dan Seiya san dipertemukan ketika mereka masih remaja belasan tahun.

Memang Ennie perasan, cara Seiya san merenungnya. Aneh! Tapi Ennie, pura-pura tidak ambil pusing. Walau dalam kotak fikirnya terbeban seribu satu persoalan.

Hari-hari berikutnya, begitulah mereka. Duduk-duduk bersantai sesudah lelah seisi latihan. Suatu malam Seiya san, via khidmat pesanan ringkas berkata “Jika saya bertemu dengan seorang perempuan, seperti kamu, akan saya kahwini perempuan itu dalam apa keadaan sekalipun.”

“Aduh! Gila dia ni!” Ennie tayangkan mesej tersebut pada Lisa keesokan pagi, sebelum memadamnya. Ennie bimbang, Rizal membaca mesej tersebut dan tersalah tafsir. Sungguh! Ennie tidak menyangka jawaban begitu.

“Memang dia gila. Gilakan isteri orang. Kau yang membuatkan dia jadi gila dan kau pun sukakan dia kan?” Jawapan selamba Lisa berbaur kutukan ada benarnya. “Kau tak dapat tipu akulah, Ennie! Lagi penting, kau tak dapat tipu diri sendiri. Lisa menyambung dan dia tahu Lisa selalu bercakap tanpa selindung.

Entah apa lagi harus Ennie ucapkan. Walaupun dia bukan kebal, kalis segala godaan; dia berjanji pada dirinya. Dia tidak akan sekali-sekali bermain api.

“Genggam saja. Tidak usah gelisah. Persetan mereka. Setiap nafas dan darah.” Ennie seakan terdengar suara membisik ke kuping telinganya. “Pergi saja ke pangkuannya. Jangan peduli. Dia menanti. Saban malam, sore dan pagi. Pergi saja ke pelukannya. Tidak perlu ragu. Dia menunggu. Setiap ketukan pintu.” Suara Syaitan Laknatullah berbisik-bisik.

Dada Ennie sesak. “Pergi! Menangis saja di pangkuannya. Kerana dia juga punya air mata yang tersimpan dan terkumpul. Untuk kamu sama-sama kongsikan” Syaitan Laknatullah menyeru-nyeru lagi.

“Na’uzubillah! Ampunkan aku, Ya-Allah!” Suara keimanan Ennie berperang dengan bisikan-bisikan itu.

* * *

Hari itu terik menyinga. Udara panas menujukkan wajah garang bengisnya. Pijar. Kulit mulus Ennie seakan mahu hangus. Hatinya entah hangus; entah terbata-bata dengan pelbagai rasa ketakutan bertandang datang dan pergi. Bersilih ganti rasa keanehan indah yang tidak tergambar dalam kata, kanvas mahupun skrin. Bahang neraka terasa di ubun-ubun. Syurga Tuhan terasa berbatu jauh dan dia hampir tersesat jalan. Jalan lurus terus liar berlari meninggalkannya. Mingkin dia yang semakin liar dengan pertunjuk dari Tuhan.

Betapa masa mempermainkan mereka. Bagaimana takdir meletakkan mereka di suatu garis terlindung. Kemudian menemukan mereka di suatu titik tanpa wajah. Betapa pertemuan tidak pernah direncana sebelumnya mengikis kejujuran dan kebenaran yang mereka pegang. Saat demi saat. Hari yang bersilih ganti. Bagaimana mereka boleh melihat cinta hadir melalui pandangan mata masing-masing.

Bagaimana lorong yang mereka pilih dan juga rahsia yang mereka simpan di dalam hati sanubari mereka. Sesalan yang mereka cuba lupakan. Masa lampau yang tidak pernah mereka kongsi; dan perasaan yang cuba mereka larikan dari kenyataan. Mereka berharap agar tiada kesakitan menimpa. atau rasa kesal yang terlewat.

* * *

“Cerita padaku tentang ume” pinta Ennie pada hari terakhir mereka bersua sebelum Seiya san berangkat pulang ke tanahairnya. Suatu malam, di atas tren yang meluncur laju menuju ke lapangan terbang. Lisa dan Encik Faiz turut menemani mereka.

“Kenapa ume? Seiya san kepingin tahu.

“Cerita sajalah” pinta Ennie bersungguh-sungguh.

Kemudian Seiya san menyambung “Setelah dedaun luruh pada musim gugur, maka pohonnya pun tinggal ranting-ranting polos. Pohon itu terus terlelap pada musim dingin, dan mulai membuka matanya pada musim semi”.

Seiya san menghela nafas dan terus bercerita. “Datangnya musim semi ditandai dengan mekarnya bunga ume. Di halaman rumahku, ada sepohon yang sering terlewat kembang kudupnya. Kuntumannya cantik. Kembangnya pun sebentar, umpama pertemuan kita yang terlewat ini.”

“Pohon ume tak berdaun, terus berbunga dan matangnya menjadi buah plum. Ume mekar sebelum sakura, bunganya seiras sakura.. Bezanya sakura menghasilkan buah cherry. Ume berwarna putih dan ada yang merah muda. Baunya harum sekali...” Seiya san galak bercerita.

“Ah! Kalaulah aku boleh mengikut dan...” Namun suara itu sekadar mati di tangkai hati.

“Aku gembira dengan pertemuan kita Seiya san. Benar-benar gembira” Tenang sekali Ennie mengatur kata. Begitu berhati-hati agar tidak mengundang syak wasangka. Di segenap sudut celahan hatinya, biar dia dan Tuhan yang tahu.

“Kau langsung tiada apa-apa perasaan terhadap aku?” Seiya san sekali lagi ingin memastikan kata nalurinya benar. Kata hatinya tidak membohongi dia.

Suharnie terus berdiam. Sekadar tersenyum kelat. Membangkang tidak, mengiyakan sesekali tidak. Semua pengakuan terkurung di kolam hati. Kata-kata terzahir pasti bertukar wajah kepada dosa yang menggunung tinggi dan melebarkan dataran. Dataran yang mungkin mejunamkan dirinya ke lubang neraka. Sungguh! Ennie lebih takut pada dosa kecurangan. Dia mahu pantas melepaskan perasaan itu

Ennie sama sekali tidak menyesali kisah lalu atau takdir pertemuan kali ini. Wajah lelaki bernama Seiya san berlegar-legar di mana sahaja dia menyorok diri. Namun di hadapannya kini, sudah ada Rizal yang mencerna bahagia. Membuatkan Ennie dihantui rasa bersalah berlipat-lipat ganda.

Pertanyaan Seiya san berlalu sepi. Ennie berharap lelaki itu mengerti dan menerima situasi. Kelibatnya semakin hilang dari pandangan. Dalam dada yang sesak berbaur sebak, Ennie terkenangkan nota ringkas yang dicoretkan untuk Seiya san. Dikepilkan bersama cenderahati tanda mereka pernah bertemu dan menjadi akrab.

Shimada Seiya,

Selamat berangkat. Semoga tidurmu aman dan lena. Tanpa arak dan puntung-puntung nikotin. Lupakan aku, walau masih tersisa kasih dalam diri. Lupakan aku, jangan ada sebarang harapan lagi.

~Ennie~

Sahabatmu


BIB'S COLLECTION


BERTAHUN dia menghirup udara negara empat musim yang begitu ingin dihuninya seketika dahulu. Bukan Bibah tidak sayangkan keindahan musim bunga atau musim gugur di mana kakinya begitu seronok menguis daun maple yang berselerakan di lantai taman. Malah dia gemar mengepal-ngepal salji ketika musim dingin tiba. Gumpalan salji yang selalu dikepalnya sering mengingatkan Bibah kenangan manis bersama Lina dan Zaki. Ketika mereka bertiga minum ais kacang kegemaran Bibah di warung berhampiran Kolej TM dahulu. Kini salji yang dikepal terasa seperti mengepal bebola api.

Musim panas pula, seringkali membuatkan dirinya begitu rindu untuk kembali ke tanahair tercinta. Bumi bertuah, di mana suara azan boleh didengari lima kali sehari. Dia sudah bosan dengan waktu malam yang bising hiruk-pikuk kenderaan. Bunyian segala macam siren kecemasan selang jam tanpa henti. Jeritan siren keretapi dari stesen terdekat yang tidak pernah mahu mati. Benar, suara azan dan suara bacaan doa dan kalimah-kalimah Tuhan dari masjid-masjid tanah kelahirannya dahulu. Itulah yang paling Bibah rindui. Bibah sedikit bosan, ada sebegitu lohong kesunyian berpintal seakan dua tali layang-layang terliuk-liuk menari dil langit kemudian bercantum antara satu sama lain. Kusut dan sesak bermaharajalela di dalam diri. Antara dendam kesumat yang tidak pernah padam terhadap Aril dan kerinduan mendalam terhadap sahabat dan keluarga yang ditinggalkan kira-kira sepuluh tahun lalu.

Kejayaan yang dimilikinya kini, sedikit sebanyak menampuang kelukaan hati Bibah. Bagaimanapun ia adalah perlaburan sama sekali gagal meredakan rasa sunyi seolah belati tajam menikam ulu hatinya tanpa henti dan belas. Akhirnya, Bibah mulai memahami, mengapa dia harus pulang ke tanahair. Dia wanita tiga puluhan yang sunyi jiwa. Seorang perempuan tanpa cinta; tanpa kasih sayang kerana secalit kisah cinta lama yang berpanjangan menjadi dendam dan trauma. Dahulu sahabat, keluarga dan tanahair tercinta ditinggalkan kerana mahu membuktikan sesuatu kepada seorang lelaki bernama Aril. Di negara empat musim yang indah ini pun, pintu hatinya ditutup rapat-rapat. Diselak rapi; agar sejarah hitam bersama Aril tidak berulang.

Saban malam Bibah dalam wajah comel polos; berkemaja T dan berseluar denim turun menjengah; melihat-lihat jika ada kedai yang masih dibuka. Neon sentiasa bergemerlapan dan udara kadang hangat, kadang dingin mengikut rentak tari musim. Hanya pasar mini berhampiran masih dibuka dan dia membeli secawan kaffien untuk diteguk. Kadang dia turun, bukan semata mahu menghirup kaffien. Dia sekadar mahu diri terlepas seketika dari merasa terkurung di apartmen sempit rimas harga sewanya mencecah puluhan ribu yen.

Dari kaki lima pasar mini tersebut, bebola mata Bibah pastinya tertancap pada jalan lurus depan apartmen mewah dan landasan keretapi di seberang sana yang terang-benderang. Bibah selalu terfikir betapa dia tidak betah berlama-lama di sini lagi.
Bibah membayangkan, jika dialah penghuni apartmen mewah itu barangkali dia akan mati ditemani seekor kucing comel. Bibah maklum, kerana dia tidak mungkin memelihara anjing comel seperti mereka yang tinggal di kota besar itu. Lantaran itu, Bibah membuat suatu resolusi penting. Pulang ke tanahair. Memindahkan aktiviti perniagaan dan kerjayanya di tanahair sendiri. Sudah lama dia menjeruk rasa; rajuk dendam yang tidak pernah padam hingga dia snggup berkelana meninggalkan mereka yang menyayanginya.

* * *

Serabut sinar matahari pagi pecah dari balik punggung kotak-kotak besi berlingkar memanjang seakan seekor ular. Kesegaran udara pagi mula mencanak turun. Suhu semakin bertingkat darjah kepanasan. Para penumpang termasuk Bibah mula kelihatan resah. Enjinnya bingit sekali, berselang-seling bunyi siren. Berhadapan dengan stesen itu, ada sebuah lagi kenderaan yang serupa pamit menuju ke destinasi kontra. Warga Kuala Lumpur dipusingkan kesibukan mahu keluar bekerja. Kuala Lumpur yang ditinggalkan sudah jauh berubah.

Pelbagai promosi yang menempel di luar dan dalam dinding. Segala macam bentuk, warna dan rupa. Hati Bibah tidak henti-henti menyumpah. Dari promosi program tivi sampai iklan makanan segera. Bibah terasa matanya sakit. Mungkin sepuluh atau dua puluh tahun lagi, senjata api dan segala peralatan membuat bom pun akan terpampang di situ. Fikir Bibah. Dia merasa sedikit terganggu. Wajah tanahair tercinta dan gelagat warganya saling tidak tumpah seperti yang ada di negara yang ditingalkan sebulan lalu. Bibah sedikit terusik dipaksa melihat perempuan-perempuan ramping menggiurkan memperagakan diri. Semuanya, dilakukan di atas dasar cari makan dan tiket ekonomi.

Walau perasaan sebal merayap-rayap di dalam hati; Bibah gagahkan diri untuk bersikap tenang dan selamba. Keretapi terus meuju ke destinasi yang diprogramkan. Mata Bibah tertancap pada aneka tiang tertanam di sepanjang perjalanan. Di situ pun, ada segala macam promosi. Malah papan iklan sebesar gergasi itu pun, menjadi sumpahan Bibah. Seorang lelaki tua dengan rompi kuning kusam merenung Bibah. Sekumpulan gadis muda berpinggang ramping juga memandangnya. Sekumpulan anak muda, kurang adab tertawa sambil berbisik-bisik memandang ke arahnya.

“Menyampah!!!” hati Bibah menyumpah lagi. Tiba-tiba, hati kecilnya bertambah sebal dijentik kenangan sepuluh tahun silam.

“Macam Bibah ni tiada apa-apalah. Comel juga kan?” kata-kata lembut manis Aril masih terngiang-ngiang di telinga Bibah. Bibah tersenyum malu. Hatinya berbunga-bunga. Terasa dirinya dengan disoroti limpahan lampu warna-warni. Dilingkari cahaya berwarna pelangi. Riiak wajah Bibah tiba-tiba berubah. Umpama langit cerah, yang tiba-tiba mengarak mendung. Bibah kembali mengenang pembohongan dan penipuan Aril. Aril telah mengoyak cinta dan perasaannya semata-mata mahukan wang seribu ringgit Malaysia

* * *

“Kau takut...kau malu...ha! ha!. Itulah cabarannya. Atau kau takut, kau benar jatuh hati dengan si Bibah tu,” cabar Fendi bersngguh-sungguh.

“Kalau aku betul-betul ada hati dengan dia, kau boleh potong kaki aku ni...,” ujar Aril penuh takbur.

Zaki sekadar menjadi pemerhati. Dia tidak mengiyakan, mahupun membangkang. Zaki perhatikan riak wajah Lina di sisinya. Ternyata Lina juga tidak senang walaupun sekadar gurauan. Aril akan mengambil serius. Zaki kenal benar sikap Aril.

“Kesian Bibah,” getus hati kecil Zaki. Kemudiannya, dia dan Lina bersetuju untuk membongkarkan rahsia Aril di depan Bibah setelah nasihat mereka ditolak Aril.

Zaki maklum bukan mudah mahu menyedarkan manusia sedegil Aril. Dia cukup kenal sepupunya itu. Jika putih pilhan si Aril, putihlah. Dia tidak akan memperdulikan pandangan sesiapa pun. Zaki pernah nampak Aril bergaduh sakan dengan abahnya kerana mahukan telefon bimbit baharu. Aril anak tunggal; terlalu dimanjakan Mak Cik Zubaidah, ibu saudara Zaki. Segala kehendak Aril sentiasa dipenuhi. Didikan tidak kena gaya telah menjadikan Aril manusia sombong, ego dan pantang dicabar.

Namun mereka berdua tidak sempat menyelamatkan Bibah dari pembohongan dan bahan permainan Aril, Fendi dan lain-lain. Aril dan kawan-kawannya terlebih dahulu licik merancang strategi. Sukar bagi Zaki dan Lina mencelah; menyelamatkan sahabat karib mereka dari penipuan itu.

“Kau berdua jangan campur urusan aku!,” herdik Aril apabila Zaki cuba menasihatinya; sambil menuding jari ke arah mereka berdua.

Bagaimanpun, muslihat Aril terbongkar. Umpama bangkai seekor tikus yang tersembunyi di celahan kabinet, Bibah tercium juga bau busuknya. Saat Bibah mendapat tahu dari Zaki yang tidak sampai hati melihat dia diperjudikan; Bibah terasa mahu turun ke rel mendepangkan tangan. Entah bagaimana, dia boleh terlupa Tuhan dan dosa besar. Dia masih ingat, bagaimana Zaki dan Lina menarik tangannya. Masih terngiang-ngiang di kuping telinganya segala hinaan Aril. Cebikan wajah Aril terbayang-bayang sehingga kini. Begitu juga gelak tawa Fendi dan mereka yang lain ketika dia bersemuka tentang kedudukannya dalam hidup Aril. Cacian Aril masih tersusun rapi terpeinci di dalam kotak memoriya. Bagai bilah-bilah pisau tersusuk satu persatu di celahan hati Bibah. Masih tersimpan kemas dalam lipatan kenangan.

“Cuba kau guna otak Einstein kau tu. Ada ke lelaki, nakkan anak gajah macam kau ni?” sambung Aril sambil mencebik.

Masih terbayang-terbayang, bagaimana Aril lansung tidak memperdulikan tangisannya, Malah dengan bongkak, Aril tidak sabar-sabar menuntut wang taruhan dari Fendi. Bagaimana dia boleh tertipu dengan pendustaan Aril. Hatinya sakit dan sebak mengenangkan kebodohannya memberikan ruang kepada penipuan lelaki itu. Gelagat Aril mengibas-ngibas dan mencium kepingan-kepingan wang RM1000 dengan gembira dan bongkak sentiasa ada di skrin ingatannya. Cerita silam yang melekat di ingatan Bibah terbang seketika; dikejutkan suara opearator membuat pengumuman dan tren terus meluncur ke destinasi seterusnya.

* * *

Bibah masih keseorangan. Zaki dan Lina sudah berkahwin hampir sepuluh tahun lalu. Sepuluh tahun, bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Luka di hatinya tidak pernah dirawat. Bisa kelukaan tidak pernah ditawarkan dengan apa-apa pun. Jika pun boleh dirawat, siapakah yang boleh merawat dan menawarkan bisa kelukaan yang begitu mendalam? Apakah yang dapat mengembalikan harga dirinya yang hilang? Fikir Bibah.

Ada ketikanya sebelum matanya pejam, Bibah akan duduk-duduk di hadapan cermin mrenung sambil meraba lemak-lemak yang terkumpul perut, paha, lengan dan di bawah daguny. Pagi pun sama. Petang pun begitu. Hari-hari berikutnya adalah sama sejak dia meningkat remaja. Mulanya, dia tidak kisahkan semua itu. Namun sejak Aril menjatuhkan harga dirinya di depan khalayak, dia menjadi pemurung. Bibah pernah cuba menurankan berat badan hingga jatuh sakit. Ibunya bimbang setelah mengetahui cerita sebenar; lantas bertekad menghantar Bibah ke luar negara menyambung pelajaran dalam rekaan fesyen dan jahitan. Kursus yang sama diambilnya sewaktu di Kolej TM. Dia eggan pulang selagi tidak memiliki sesuatu yang boleh dibanggakan. Lalu Bibah rela berkelana dari kota ke kota di negara asing. Kali terakhir dia pulang ke tanahair ketika menziarahi kembali ke Rahmatullah dua tahun sebelum pengajiannya tamat. Sesudah tamat pengajian, Bibah nekad. Usaha gigih Bibah dan sokongan moral serta kewangan salah seorang rakan niaga Allahyarhamah ibunya, membawa dia ke mercu kejayaan. Bibah berjaya membuka butik dengan jenama sendiri. BIB’s Collection menjadi fenomena di kalangan remaja perempuan dan wanita sepertinya.

Kini, Bibah antara usahawan wanita yang cukup dikenali dan disegani. Siapa tidak kenal Cik Noor Habibah Sabrina Abdullah. Cerita-cerita mengenainya terpampang di media cetak, majalah fesyen dan kadang dia ditemubual di rangkaian radio dan televisyen tempatan. Bagaimanapun, hidupnya masih kekosongan. Sunyi hatinya ditampal dengan bekerja dan berkerja keras. Gigih meluaskan empayar perniagaan butiknya. Secara khusus memperagakan pakaian dan perhiasan untuk wanita yang bersaiz xxl sepertinya. Semenjak ibu tercinta kembali ke Rahmatullah, Zaki dan Lina serta dua anak mereka adalah keluarganya. Pernah Lina dan Zaki cuba memperkenalkan Bibah kepada salah seorang kenalan mereka. Akibatnya, seminggu Bibah tidak bertegur sapa. Semenjak itu, mereka biarkan Bibah dengan dunianya.

Jauh di sudut hatinya Bibah tahu, apa yang dilakukan Zaki dan Lina adalah demi kebaikannya. Kata-kata Lina, ada asasnya. Sampai bila dendam kesumat ini harus dibiarkan memamah diri? Mungkinkah sehingga nyawanya diangkat pergi? Di sebalik gurau dan hilai tawa Bibah, ada sesuatu yang meminta kekosongan hati diisi. Namun, hatinya yang berparut itulah, menyebabkan dia menyendal semua pintu hati untuk cinta dan kehadiran lelaki.

* * *

Semalam, sebaik turun dari tren komuter di KL Central yang udaranya sesak di waktu puncak, Bibah terpandang seseorang. Seseorang yang pernah membuat perasaannya terbuai. Dadanya tiba-tiba jadi betambah sesak dan adrenaline meluncur laju di serata urat tubuhnya. Seseorang yang cukup dikenalinya. Berkerusi roda. Kelihatan daif dan keletihan amat. Pandangan mereka jadi satu. Bibah terasa mahu pergi dan mengulang ayat itu. Ayat yang hampir-hampir meragut nyawa dan imannya.

“Berada di dalam keadaan begini bukan apa-apalah. Comel kan?”

Tapi ada sekelumit suara halus melarangnya. Namun Bibah hampiri juga lelaki itu. Menyapa dan bertanya khabar. Entah bagaimana, tiba-tiba sirna segala dendam dan amarah yang puluhan tahun disimpan. Aril kelu. Hanya matanya yang berkaca-kaca. Bibah ingin bertanya lanjut. Tapi tren untuk untuk dia berangkat ke destinasi seterusnya sudah tiba. Dia perlu bergegas. Tren semakin pantas meninggalkan lelaki yang mengoyak-rabakkan cintanya dahulu. Sesudah selesai segala urusan dia terus ke pejabat Zaki dan Lina. Mahu cepat-cepat tiba. Barangkali itulah perkara yang mahu Lina perkatakan tempohari.

“Lepas tu, apa jadi?” Bibah kepingin tahu. Kemudian dia diberitahu tentang kemalangan yang menimpa Aril dan keluarganya yang tidak sudah-sudah dirundung masalah.

“Boleh kau tolong aku? Berapa yang Aril perlukan...,” pinta Bibah tiba-tiba bersunguh-sungguh. Kedua pasangan suami isteri itu terkesima. Malah, mereka diminta pula merahsiakan bantuan kewangan tersebut. Bibah tahu, mereka sedikit cuak dengan niatnya.

”Kenapa kau buat semua ni Bibah? Kau masih sayangkan dia? Masih mengharap dia?" Soalan demi soalan semuanya tergantung dalam kepala Bibah. Akhirnya Bibah bertemu jawapan. Benar, seperti yang Zaki pernah ucapkan dulu. Semua yang berlaku punya hikmah tersendiri. Ada karma untuk setiap perlakuan manusia; Bibah tersenyum lega. Segala bebanan perasaannya seolah diangkat pergi. Kembali kepada Aril? Bukan itu pokok pangkal segala persoalan.

Zaki menangguk berkali-kali sambil memandang wajah Bibah. Sebenarnya, dia sudah lama sedar. Sebalik lemak-lemak terkumpul pada tubuh Bibah, ada seketul daging yang cantik sekali rupanya. Sekeping hati yang pemaaf!

Aril juga sedar. Betapa dia gembira bersama Bibah. Senda gurau Bibah menyenangkan hatinya. Malang sekali Aril pura-pura buta hati. Hanya Zaki yang tahu betapa deritanya Aril selepas pemergian Bibah. Zaki tahu, sepupunya itu benar-benar sudah jatuh hati pada Bibah. Tapi dek kerana malu dengan keadaan fizikal Bibah, Aril memcampakkan perasaan itu ke jurang paling dalam. Sewaktu melihat Bibah ditertawakan, betapa hati Aril tiba-tiba terasa ngilu. Demi sebuah ego, ditahan segala. Dinafikan kata hati sendiri. Kecuali Zaki dan Lina; tiada siapa tahu, hari-hari beikutnya hidup Aril seakan hilang seri. Biar pun dia sering ditemani gadis-gadis cantik bersilih ganti. Musibah demi musibah yang menimpa diri dan keluarganya membuatkan Aril meyakini kebenaran kata-kata Zaki. Benar! Karma sedang meracuni hidupnya.

Hari bersilih ganti dan Aril sudah pulih sepenuhnya. Dia mula mengorek rahsia.

“Tolonglah Zaki, Lina....sekurang-kurangnya aku mahu ucapkan terima kasih kepada insan yang berbudi dan memberikan aku harapan baru,” pinta Zaki sepenuh hati. Pasangan suami isteri itu merasa serba salah; apatah lagi keluarga Aril juga turut mendesak.

“Bibah...Bibah kah orang tu?” Aril cuba-cuba meneka. Zaki sekadar mengganguk.

* * *

Pintu wad tiba-tiba diketuk dan dikuak lebar. Zaki dan yang lain-lain terutama Aril terkejut besar.

“Maafkan aku Aril. Bukan aku tak sudi. Aku sudah pun maafkan kau, pada hari kita terseempak di stesen keretapi tempohari. Beginilah Aril, kita pulangkan kepadaNya. Buat masa ini, aku belum cukup bersedia,” ucap Bibah penuh kejujuran; menolak lembut permintaan Aril untuk kembali bersama..

“Bertahun aku menatang hujan di langit Aril, masakan tawar air di laut,”getus hati kecil Bibah.

Sekali lagi, Bibah merasa puas. Kejayaannya, mengembalikan harga diri yang terpulas digenggam kemas!

*TAMAT*